Penganggur cetus siri kebakaran di Baling dipenjara 12 tahun

Penganggur cetus siri kebakaran di Baling dipenjara 12 tahun

Afif Jazimin Jamaluddin, 23, mengaku salah kerana khianat api dengan membakar lima motosikal penduduk kampung.

Afif Jazimin Jamaluddin
Afif Jazimin Jamaluddin mengaku salah di Mahkamah Sesyen Baling, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki yang mencetuskan siri kebakaran di Baling dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Baling.

Tertuduh, Afif Jazimin Jamaluddin, 23, mengaku salah atas kesalahan membakar lima motosikal penduduk kampung di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat api dengan membakar motosikal jenis Modenas Kris, SM Sport, dan Honda EX5 sehingga menyebabkan kerosakan harta penduduk di Kampung Pisang, Kupang, 3.30 pagi, 24 Dis lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama apabila membakar motosikal jenis Honda EX5 di Kampung Jerai, Kupang dan Modenas Kriss di Kampung Hangus, Kupang, pada 3.15 pagi dan 3.30 pagi, pada 27 Dis dan 2 Jan.

Berikutan itu dia didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda, lapor Berita Harian.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nursyafina Baharudin.

Intan Nursyafina dalam rayuannya meminta hukuman penjara ke atas anak guamnya berjalan serentak dari tarikh tangkapannya berikutan tertuduh membuat pengakuan bersalah yang menjimatkan masa mahkamah.

Selain itu, tertuduh yang tidak bekerja masih mempunyai ibu bapa berusia 43 dan 52 tahun yang memerlukan perhatiannya.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas tertuduh bermula tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Jan.

Sebelum ini, dilaporkan tercetus siri kebakaran sembilan rumah termasuk 18 motosikal melibatkan kerugian RM770,000 di Kupang, disyaki dilakukan seorang lelaki pendendam dipercayai sering dibuli di tempat kerja.

Ketua Polis Kedah Fisol Salleh, berkata sembilan kes khianat api yang dilakukan penganggur itu berpunca perasaan dendam kerana sering dibuli di tempat kerja, selain suspek juga dipulau penduduk setempat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.