Ribut petir, hujan lebat dijangka di Sabah, Sarawak, Labuan hingga 9 malam

Ribut petir, hujan lebat dijangka di Sabah, Sarawak, Labuan hingga 9 malam

Antara kawasan terjejas termasuk Pedalaman dan Pantai Barat Sabah serta Sibu, Kapit dan Bintulu di Sarawak.

hujan ribut
MetMalaysia meramalkan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak, serta seluruh Labuan, dilanda ribut petir dengan hujan lebat dan angin kencang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir dengan hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Sarawak, Sabah dan Labuan hingga 9 malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan yang terjejas di Sarawak meliputi Sibu (Selangau); Kapit (Song dan Kapit); Bintulu; Miri; dan Limbang.

Antara kawasan lain yang terjejas di Sabah merangkumi Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) dan Sandakan (Kinabatangan).

Amaran sama turut melibatkan seluruh Labuan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Anip memaklumkan, analisis model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku pada 4 hingga 7 Feb ini.

Beliau memaklumkan keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sabah dan Sarawak.

“Sehubungan itu, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan telah dikeluarkan dan berkuat kuasa pada 4 sehingga 7 Feb,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi MetMalaysia hari ini.

Orang awam turut dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.