
Pengerusi NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) M Visvanathan berkata, langkah pertama yang perlu diambil oleh ahli keluarga atau peguam mereka adalah menulis kepada Jabatan Peguam Negara atau Mahkamah Koroner meminta supaya siasatan berhubung kematian Tay dimulakan.
Katanya, siasatan terperinci akan membantu menangani persoalan keluarga itu dan sebarang ketidakpuasan hati berhubung dapatan pasukan petugas khas yang dibentuk untuk menyiasat kematian doktor itu.
Visvanathan mengulas sedemikian selepas suami Tay, Low Teck Khaang berkata beliau masih mencari jawapan dan alasan terperinci dapatan pasukan petugas itu.
Low sebelum ini mendakwa, pasukan petugas itu hanya mengadakan libat urus secara minimum dengan keluarga sebelum membuat kesimpulan.
“Apa yang dijelaskan minggu lepas tidak cukup menangani keraguan kami,” katanya.
Rabu lepas, pasukan petugas itu berkata, dapatannya tidak mendedahkan bahawa pakar patologi itu dibuli oleh ketua jabatannya seperti yang didakwa.
Pengerusi pasukan petugas itu, Borhan Dollah berkata, mereka tidak menemukan sekarang bukti untuk menyokong dakwaan bahawa Tay dianiaya oleh pegawai atasannya.
Katanya, siasatan pihaknya mendapati tidak wujud sekarang konflik antara Tay dengan ketua jabatannya, menurut rakan sekerja dan orang bawahannya yang ditemu bual.
Beliau juga berkata, tiada bukti bahawa Tay dibebani dengan tugas di luar skop kerjanya atau diminta menjalankan tugas di luar bidang kepakarannya.
Low bagaimanapun mendakwa, siasatan itu ‘mungkin tidak cukup teliti’.
Menurut kakaknya, Tay menjadi mangsa buli dan dibebani dengan tekanan kerja yang berat. Dakwanya, beban kerja yang berlebihan mungkin menjadi salah satu faktor menyebabkan kematian Tay.
Visvanathan yang juga seorang peguam berkata, pengumuman pasukan petugas khas itu dua minggu lepas tidak mempunyai kuasa undang-undang.
Beliau juga mendakwa, pihak berkuasa sengaja mengabaikan peruntukan Kanun Tatacara Jenayah dalam memastikan bila, bagaimana dan dalam keadaan apa Tay meninggal dunia.
“Pasukan petugas tidak boleh mengambil alih kuasa dan fungsi Mahkamah Koroner. Dapatan (pasukan petugas) tidak boleh diterima oleh mahkamah kerana ia tidak menepati undang-undang,” katanya kepada FMT.
Visvanathan berkata, keluarga Tay tidak akan ada jalan lain jika tidak berpuas hati dengan dapatan pasukan petugas itu.
“Ini tidak akan berlaku jika siasatan dijalankan secara wajar dan bijaksana. Keluarga akan mempunyai ruang untuk merayu kepada mahkamah atasan,” tambahnya.