Mangsa banjir Sabah, Sarawak makin kurang malam ini

Mangsa banjir Sabah, Sarawak makin kurang malam ini

Di Sabah, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 1,485 orang berbanding 1,702 petang tadi.

Premier Sarawak Abang Johari Openg menyantuni penduduk Kampung Lereng Bukit yang ditempatkan di PPS Bulan Sabit Merah di Miri semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak menurun dengan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup setakat 8 malam ini.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 1,485 orang berbanding 1,702 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, daerah Beluran pulih sepenuhnya dan semua PPS ditutup 6 petang tadi, menjadikan hanya sembilan PPS dibuka di empat daerah di negeri itu.

“Pitas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 819 mangsa, diikuti Lahad Datu (520); Beaufort (110); dan Paitan (36),” menurut sekretariat itu dalam kenyataan.

“Trend pemindahan mangsa di daerah Lahad Datu menunjukkan peningkatan manakala daerah-daerah lain kekal tidak berubah.”

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan kepada 12,423 orang berbanding 12,656 petang tadi.

Sekretariat JPBN Sarawak memaklumkan, bahagian Bintulu (melibatkan daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh), yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi sejak bencana itu mula melanda, terus menunjukkan penurunan kepada 5,672 orang berbanding 5,712 sebelum ini.

“Jumlah mangsa di bahagian Serian (daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin) kekal pada 2,576 orang, manakala di bahagian Samarahan (daerah Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong) meningkat sedikit kepada 1,921 orang.

“Di bahagian Sibu (daerah Sibu, Selangau dan Kanowit) turut merekodkan peningkatan kepada 1,165 orang, dengan jumlah mangsa di bahagian Miri (daerah Miri, Subis dan Beluru) meningkat kepada 1,057 orang,” menurutnya dalam kenyataan.

Mangsa banjir di bahagian Mukah (daerah Mukah dan Matu) pula meningkat kepada 32 orang manakala kesemua tiga PPS di Kuching ditutup hari ini susulan keadaan banjir di bahagian itu pulih sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.