Jangan terus balah siapa ketuai PN, PAS P Pinang seru rakan gabungan

Jangan terus balah siapa ketuai PN, PAS P Pinang seru rakan gabungan

Parti komponen PN Pulau Pinang itu minta sekutunya tumpu gerak kerja menang PRU16.

Muhammad Fawwaz Jan
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Jan menegaskan tiada pergolakan yang berlaku antara komponen PN Pulau Pinang dan gabungan itu masih utuh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS Pulau Pinang meminta semua pihak agar tidak terus berbalah tentang parti mana yang layak mengetuai Perikatan Nasional (PN) di negeri itu sehingga membuka ruang kepada seteru politik untuk memecahbelahkan kesatuan gabungan itu.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Jan berkata, PAS tidak berhasrat mengikuti rentak musuh yang sengaja mahu mencampuri urusan kepimpinan PN yang sepatutnya diputuskan dalam kalangan pimpinan utama setiap parti komponen.

“PAS Pulau Pinang menyeru rakan parti dalam PN agar kita semua menumpukan gerak kerja kita mengikut segmen dan sasaran masing-masing dan tidak termakan dengan helah parti lawan justeru dapat merealisasikan kemenangan pada PRU16 dengan pentadbiran yang bersih dan stabil,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, tiada pergolakan yang berlaku antara komponen PN Pulau Pinang dan gabungan itu masih utuh.

“Kenyataan dikeluarkan mana-mana parti komponen PN berkenaan isu menerajui pakatan ini merupakan cadangan dan ini telah ditegaskan oleh Timbalan Ketua MIPP (S Subramaniam).

“PN terbuka dan terima segala cadangan daripada semua pihak, isu ini tidak jadi titik perpecahan malah setiap parti komponen dalam PN saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan mempertahankan cadangan parti itu mengetuai PN di Pulau Pinang berdasarkan keadaan semasa yang tidak memihak kepada Gerakan di negeri itu, memandangkan komuniti Cina kuat menyokong DAP.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau yang menolak kesediaan MIPP untuk mengetuai PN di Pulau Pinang, kerana menurutnya, partinya lebih berpengalaman serta pernah mentadbir negeri itu selama 39 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.