Penduduk Kuala Pilah kini boleh akses internet berkelajuan tinggi

Penduduk Kuala Pilah kini boleh akses internet berkelajuan tinggi

Ahli Parlimen Kuala Pilah Adnan Abu Hassan berkata pembinaan dua menara di Jalan Bukit Putus menyelesaikan masalah telekomunikasi yang sering terganggu ketika waktu puncak.

Dua menara telekomunikasi yang beroperasi sepenuhnya November tahun lalu dijangka menarik pelaburan baharu ke Kuala Pilah. (Gambar Konsortium Jaringan Selangor)
PETALING JAYA:
Penduduk Kuala Pilah kini boleh mengakses perkhidmatan internet berkelajuan tinggi 4G dan 5G menerusi pembinaan dua menara telekomunikasi moden di Jalan Bukit Putus (Seremban-Kuala Pilah).

Menara telekomunikasi setinggi 76m yang beroperasi sepenuhnya November tahun lalu, berjaya menyelesaikan masalah telekomunikasi dan capaian jalur lebar sering terganggu semasa waktu puncak seperti Aidilfitri dan cuti sekolah.

Pembangunan menara itu hasil kerjasama kerajaan Negeri Sembilan, Konsortium Jaringan Selangor (KJS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak berkepentingan utama dalam industri telekomunikasi.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Adnan Abu Hassan, berkata inisiatif itu melambangkan lonjakan transformasi untuk masyarakat tempatan dan sekitar, selain menawarkan lebih banyak peluang dalam ekonomi digital.

“Infrastruktur digital canggih di Kuala Pilah ini dijangka menarik pelaburan baharu dan mengubah kawasan ini menjadi hab aktiviti digital,” katanya ketika hadir perasmian menara telekomunikasi di Bukit Putus, Kuala Pilah.

Ikoniknya, salah satu menara telekomunikasi di Kuala Pilah itu dibina dengan mural bermotifkan budaya dan sejarah setempat, membangkitkan rasa bangga dalam kalangan penduduk.

Majlis itu dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dalam majlis itu, Fahmi turut melancarkan Garis Panduan Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G 6 Hala.

Diterajui SKMM, ia adalah projek perintis industri telekomunikasi dalam usaha berkongsi sumber rangkaian dan infrastruktur antara syarikat telco Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, TM dan YTL Communications.

Lima lokasi MOCN 4G 6 Hala ialah di Ikon Tengkolok, Bukit Putus dan Kem Pengakap, Bukit Putus, Negeri Sembilan; Prima Gambang (Pahang); Plaza Tol Kota Seri Langat West Coast Expressway (WCE) Banting (Selangor) dan Tanjung Asam (Pulau Pinang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.