
FMT bertemu seorang pakar feng shui yang membuat beberapa ramalan menyentuh lima nama besar negara.
Pengasas Good Feng Shui Group, Kenny Hoo, beritahu kami bahawa dia mengkaji “bazi” mereka iaitu tahun, bulan, hari dan waktu kelahiran, yang dianggap sebagai empat tonggak takdir seseorang.
Menurut Hoo, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin menghadapi cabaran tertentu pada bulan Mei, Ogos dan November. Hoo menjangkakan Anwar berada dalam keadaan sihat sepanjang Tahun Ular akan datang.
“Saya fikir Anwar masih boleh memimpin negara, dan kerajaan perpaduan masih utuh pada tahun masihi ini,” kata Hoo.
Beliau berkata Anwar harus beri tumpuan pada pembangunan ekonomi dan prasarana pada tahun masihi ini, kerana bacaan bazinya menunjukkan beliau akan dapat menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia pada Tahun Ular.
Beliau juga berkata nasib Anwar akan meningkat dengan ketara jika beliau dapat membina keyakinan penyokongnya.
Zahid lancar manakala Najib, Muhyiddin perlu jaga kesihatan
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga presiden Umno juga dijangka tidak perlu risau pada tahun masihi ini, kerana Hoo meramalkan beliau tidak akan menghadapi sebarang cabaran besar dalam Tahun Ular.
“Tahun Ular ini sepatutnya berjalan lancar baginya berbanding dua tahun lepas (Tahun Arnab dan Naga),” katanya.
Bagaimanapun, Hoo berkata bekas perdana menteri Najib Razak dan Muhyiddin Yassin mungkin menghadapi cabaran tertentu, khususnya, berkaitan kesihatan.
Beliau berkata Najib, yang sedang menjalani hukuman di penjara Kajang, mesti mengutamakan kesihatan pada Tahun Ular. Begitu juga Muhyiddin, khususnya pada pertengahan dan menjelang akhir tahun masihi ini.
“Muhyiddin perlu jaga kesihatan pada bulan Jun dan Disember, kerana dia mungkin menghadapi keletihan dan kekurangan tenaga,” kata Hoo.
Beliau kata pengerusi Perikatan Nasional itu kini berada dalam “kitaran kurang baik” dan mungkin menghadapi kemerosotan sokongan politik antara tahun masihi ini dan akan datang.
Dr M terus bersemangat
Seorang lagi bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang mencecah usia 100 tahun pada 10 Julai, dijangka akan terus bersemangat dalam Tahun Ular.
Bagaimanapun, Hoo berkata Mahathir perlu lebih menjaga kesihatan, terutama pada bulan Julai dan Oktober, dan pada Januari tahun depan.
Beliau berkata bacaan bazi Mahathir menunjukkan bahawa tenaganya kekal pada tahap biasa, manakala nasib dan kerjayanya mungkin “biasa-biasa sahaja”.