Abang lemas cuba selamat adik jatuh tali air

Abang lemas cuba selamat adik jatuh tali air

Mangsa ditemukan 8.25 malam semalam manakala adiknya masih belum ditemui.

Menurut bomba, operasi pencarian masih diteruskan untuk mengesan adik mangsa, Muhammad Asadullah Zehan, 13, yang masih hilang dalam kejadian lemas di Bachok itu. (Gambar JBPM)
KOTA BHARU:
Seorang remaja lelaki maut manakala adiknya masih hilang dalam kejadian lemas di tali air Kampung Kubang Telaga, Bachok, petang semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Mohd Zamizi Muhamad, berkata Muhamad Amirul Mukminin Zehan, 17, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 8.25 malam.

Bagaimanapun, katanya, adiknya, Muhammad Asadullah Zehan, 13, masih belum ditemui dan operasi pencarian sedang diteruskan oleh pasukan tersebut.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui Sistem MERS 999 pada 6.36 petang sebelum anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila Muhammad Asadullah terjatuh terlebih dahulu ke dalam tali air. Abangnya, Muhamad Amirul Mukminin, bertindak terjun untuk menyelamatkan adiknya tetapi turut lemas dalam tragedi tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.