MIPP ketua PN P Pinang hanya cadangan, biar pimpinan putuskan, kata pemimpin Bersatu

MIPP ketua PN P Pinang hanya cadangan, biar pimpinan putuskan, kata pemimpin Bersatu

Timbalan Ketua Bersekutu Bersatu R Sanjeevan berkata terlalu awal untuk mengatakan MIPP akan jadi ketua PN di Pulau Pinang.

R Sanjeevan berkata setiap komponen PN harus membantu Gerakan kembali kuat jika ingin menawan banyak negeri termasuk Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersekutu Bersatu menggesa pertikaian parti komponen yang layak menerajui Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang perlu dirujuk ke pimpinan untuk diputuskan.

Timbalan Ketuanya R Sanjeevan berkata kenyataan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan semalam berhubung kesediaan partinya menerajui PN Pulau Pinang hanya bersifat cadangan.

“Terlalu awal nak kata MIPP akan jadi ketua di Pulau Pinang, perkara ini mesti dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN.

“PN bergerak bersama-sama, tak boleh nak kata parti tertentu jadi ketua kerana bawah komponen itu ada Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP.

“Dasarnya, ketua negeri dipilih dan dipersetujui bersama oleh parti komponen dalam PN dan kita bekerja di lapangan pun guna lambang PN bukan parti masing-masing,” katanya kepada FMT.

Semalam, Punithan berkata pihaknya sedia memimpin PN di Pulau Pinang sambil menambah terbuka mengadakan perbincangan bersama pemimpin gabungan.

Kenyataan beliau menyusul laporan FMT memetik sumber yang PN mengalihkan fokusnya di Pulau Pinang kepada pengundi Melayu dan India untuk memenangi majoriti tipis kerusi pada PRN akan datang.

Sumber itu mengakui PN bergelut untuk meraih undi Cina di negeri itu – seperti dibuktikan oleh prestasinya pada PRU15 dan PRN 2023, apabila komponen berbilang kaumnya, Gerakan gagal memperoleh sokongan pengundi Cina.

Langkah itu kata sumber turut diambil selepas mendapati ada perubahan ketara sokongan dalam kalangan masyarakat India Pulau Pinang, khususnya pada PRK Sungai Bakap Julai tahun lalu.

Ketua Penerangan Gerakan Wendy Subramaniam pula berkata pihaknya berharap MIPP menyokong Gerakan untuk mengetuai jentera PN Pulau Pinang seperti PAS serta Bersatu yang memahami jasanya membangunkan negeri itu sebelum ini.

Mengulas lanjut, Sanjeevan berkata setiap komponen PN harus membantu Gerakan untuk kembali kuat jika ingin menawan banyak negeri termasuk Pulau Pinang selain mengambil alih tampuk pemerintahan Putrajaya.

“Tak wajar nak kata Gerakan dah hilang atau gagal tarik sokongan sebab Gerakan sebahagian PN, kita harus bergerak sama. Jika mereka gagal bermakna itu kegagalan PN.

“Jika ada rakan tertinggal di belakang, kita bantu dia bergerak seiring,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.