
Beliau berkata pelaksanaan 6-Way MOCN itu bertujuan meningkatkan kesalinghubungan terutama melibatkan kawasan kurang liputan internet.
“Terima kasih kepada rakan-rakan telco, Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, TM dan YTL Communications. Saya difahamkan setakat ini belum ada negara di dunia yang syarikat bersaing sesama mereka mewujudkan satu kerangka yang membolehkan mereka bekerjasama seperti ini.
“Malaysia merupakan negara pertama di dunia membolehkan semua syarikat telco melaksanakan cara sedemikian. Projek ini membuktikan syarikat telco boleh bekerjasama… usaha ini dapat membantu kawasan luar bandar, terpencil mendapat akses Internet yang baik dan meningkatkan kesalinghubungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Garis Panduan Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur 6-Way MOCN dan perasmian menara telekomunikasi di Jalan Bukit Putus.
Lima lokasi 6-Way MOCN ialah di Ikon Tengkolok, Bukit Putus dan Kem Pengakap, Bukit Putus, Negeri Sembilan, Prima Gambang (Pahang), Plaza Tol Kota Seri Langat West Coast Expressway (WCE), Banting (Selangor), dan Tanjung Asam (Pulau Pinang).
Fahmi berkata usaha itu membuktikan syarikat telekomunikasi di negara ini boleh bekerjasama bagi membantu masyarakat mendapat akses internet lebih baik terutamanya di kawasan terpencil.
“Saya percaya usaha ini akan memudah cara syarikat telco bekerjasama dengan lebih erat. Saya harap isu dihadapi pengguna dapat diuruskan dengan baik,” katanya.
Fahmi juga mahu setiap pihak meningkatkan ikhtiar bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kesan negatif penggunaan sosial media terhadap kanak-kanak, serta berhati-hati dengan penipuan terutamanya kepada golongan dewasa.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjelaskan MOCN menetapkan prinsip, proses dan panduan bagi pelaksanaan Perkongsian Infrastruktur Rangkaian oleh Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) bagi menggalakkan kerjasama, mengoptimumkan sumber serta meningkatkan kesalinghubungan khususnya di tujuh kawasan yang mendapat liputan kurang memuaskan.
Ia merangkumi lebuh raya, universiti awam, hospital, kawasan acara, kawasan pelancongan, stadium, dan penempatan tentera serta polis.
MOCN tertumpu kepada dua metodologi utama, iaitu perkongsian infrastruktur pasif yang melibatkan perkongsian komponen fizikal seperti menara dan tiang, tanpa melibatkan komponen elektronik atau rangkaian.
“Di bawah perkongsian infrastruktur aktif pula, ia merujuk kepada perkongsian komponen elektronik dan pemprosesan isyarat dalam rangkaian, yang secara aktif memproses dan menghantar isyarat serta membolehkan penggunaan sumber rangkaian yang lebih cekap,” menurut kenyataan.
Garis panduan tersebut menyediakan penyelesaian praktikal untuk membantu MNO memaksimumkan manfaat perkongsian infrastruktur demi kepentingan rakyat.
“Pendekatan bersepadu ini meningkatkan kecekapan operasi MNO dan mempercepat penyampaian perkhidmatan 4G berkualiti tinggi,” katanya.