
Beliau turut mengarahkan semua kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang tidak kritikal dihentikan sementara supaya tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi masing-masing.
“Kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang dengan sebaiknya. Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, katanya, Op Bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa seperti polis, Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan terus dilaksanakan sepanjang enam hari berkenaan.
Nanta berkata beliau juga telah mengarahkan Syarikat Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) untuk menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Jan hingga 3 Feb bagi memastikan kelancaran trafik.
“Saya ingin sarankan kepada semua pengguna jalan raya untuk memeriksa kondisi kenderaan termasuk tayar supaya siap sedia untuk perjalanan jauh dan memandu kenderaan secara berhemah dan mengikut undang-undang,” katanya.