
Dzulkefly menjelaskan bahawa WBB di tahap projek rintis apabila ia dibatalkan.
“Jadi pada sahabat yang bertanya saya mengapa WBB bukan suatu yang ‘flip-flop’ ialah sebab saya belum lagi memberikan keputusan bagi WBB ini,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Amanah 2024 di Klang. Dzulkefly merupakan naib presiden parti itu.
Dzulkefly menjelaskan kepada perwakilan bahawa pembatalan WBB bertujuan untuk melakukan libat urus dengan semua pihak berkepentingan secara menyeluruh.
Beliau menarik perhatian kepada edaran arahan berkait projek rintis WBB, yang menyebabkan ramai doktor bertanya mengapa mereka tidak dilibatkan dalam libat urus mengenainya.
“Mereka (doktor) menuntut hak (untuk terlibat dalam libat urus),” katanya.
Dzulkefly turut menyifatkan edaran arahan tersebut sebagai satu kesilapan.
“Saya mengambil sikap untuk mengangkat perkara ini di Jemaah Menteri,” katanya.
Jemaah Menteri membatalkan cadangan WBB kelmarin bagi memberi laluan kepada kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.
Susulan itu, Kementerian Kesihatan menubuhkan suatu jawatankuasa khas untuk mengkaji penjadualan waktu bekerja, antara lain.
Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia mengumumkan ia mahu mengadakan libat urus dengan jawatankuasa khas tersebut.
Presiden Dr Kalwinder Singh Khaira menegaskan keperluan untuk melibatkan pihak berkepentingan dalam perancangan dasar dari mula.
Pada 21 Jan lalu, Dzulkefly berkata cadangan WBB bertujuan menangani isu lama berkaitan waktu kerja berlebihan dalam kalangan profesional kesihatan, di mana ada yang bekerja sehingga 33 jam berturut-turut atau mencatatkan 99 jam seminggu.
WBB mengehadkan doktor dan doktor gigi di perkhidmatan kesihatan awam bertugas 18 jam berturut-turut, berbanding 24 hingga 33 jam berturut-turut ketika ini.
Namun, MMA berkata pendapatan pegawai perubatan awam dan pakar akan terjejas di bawah sistem ini, kerana elaun ‘on-call’ hanya akan diberi kepada mereka yang bertugas pada hujung minggu dan cuti umum.
Katanya, syif malam akan dianggap sebagai waktu kerja biasa dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada tempoh waktu bekerja 45 jam seminggu.