Pasukan lawan beraksi dengan lebih baik, kata Pearly

Pasukan lawan beraksi dengan lebih baik, kata Pearly

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, tewas kepada pasangan Korea Selatan di pentas perlawanan akhir Indonesia Masters.

Pearly-Thinaah
Pearly Tan-M Thinaah heret pasukan lawan ke set penentuan perlawanan akhir Indonesia Masters, namun pasangan Korea Selatan berjaya menoktahkan kemenangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jaguh badminton negara, Pearly Tan, akui pasukan lawan beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akhir Indonesia Masters hari ini.

“Mereka lebih kuat dari segi fizikal berbanding kami. Masih banyak ruang untuk diperbaiki. Di set terakhir, mereka lebih tenang dan stabil, manakala kami sedikit tegang,” katanya kepada Bernama, selepas perlawanan.

“Namun, kami tetap gembira sebab komunikasi baik, berusaha mencari mata dan tidak pernah menyerah.”

Hasrat Pearly dan pasangannya, M Thinaah untuk meraih gelaran musim ini tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kong Hee Yong-Kim Hye Jeon.

Di Istora Senayan di Jakarta, Indonesia, beregu wanita utama negara itu terpaksa akur apabila tewas dalam aksi tiga set dalam tempoh 74 minit, dengan mata 12-21, 21-17, 18-21.

Turun selaku pilihan kedua kejohanan, Pearly-Thinaah tewas pada set pertama sebelum memperkemaskan rentak untuk bangkit pada set kedua, dan mengheret pasukan lawan ke set penentuan.

Set penentuan sengit apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata, sebelum pasangan Korea Selatan menoktahkan kemenangan.

Beregu Korea Selatan menerima hadiah kemenangan USD37,525 (kira-kira RM164,284) manakala Pearly-Thinaah membawa pulang USD18,050 (RM79,022).

Thinaah mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sokongan mereka.

Fokus mereka seterusnya adalah kejohanan di Eropah pada Mac, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.