Kunjungan pesawah ubah ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Kunjungan pesawah ubah ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Persatuan pesawah kesal maklumat berkenaan lawatan presiden Indonesia tidak dimaklumkan awal kepadanya.

Penganjur suatu kunjungan oleh pesawah ke Putrajaya mengubah lokasi acara ke KPKM. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Penganjur suatu kunjungan oleh pesawah ke Putrajaya mengubah lokasi acara ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), ekoran lawatan presiden Indonesia esok.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menegaskan bahawa peserta yang terdiri daripada pesawah tidak datang untuk membuat huru-hara, lebih lagi ketika kedatangan tetamu negara.

“Lokasi kunjungan dan sidang media diubah ke KPKM. Pada tarikh dan waktu yang sama,” katanya dalam kenyataan.

“10 orang wakil-wakil negeri akan tetap ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk penyerahan memorandum dengan kawalan polis.”

Sementara itu, Pesawah berkata pihaknya kesal maklumat berkenaan lawatan Presiden Prabowo Subianto tidak dimaklumkan awal kepadanya oleh PMO dan polis.

“Sedangkan urusan surat-menyurat dan makluman berkenaan kunjungan Pesawah ini telah lama dihantar,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan lebih 1,000 pesawah akan berkumpul di Putrajaya esok bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Abdul Rashid Yob, antara perkara yang mahu dibawa ke perhatian perdana menteri berkenaan tuntutan pesawah yang mahukan harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.

Namun acara ini bertindih dengan Lawatan Negara oleh Prabowo, yang diiringi menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Polis dalam kenyataan menasihati penganjur memilih tarikh lain, ekoran kawalan keselamatan dipertingkatkan sempena lawatan Prabowo.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata nasihat ini untuk melegakan kesulitan kepada peserta kunjungan, yang akan terpaksa melalui tatacara keselamatan yang ketat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.