Pengundi India kecewa dengan PH, kata penganalisis

Pengundi India kecewa dengan PH, kata penganalisis

Penganalisis berkata DAP Pulau Pinang menghidupkan semula Biro Hal Ehwal Masyarakat India mungkin bagi menangani kesan parti berasaskan India.

india
Penganalisis berkata parti yang mempunyai ahli India perlu menangani keperluan, masalah dan tuntutan komuniti itu bagi mendapatkan sokongan mereka.
PETALING JAYA:
Komuniti India yang pernah dianggap sebagai bank undi Pakatan Harapan (PH), kini dilihat semakin kecewa dengan gabungan itu akibat kurangnya wakil daripada komuniti tersebut, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kedua-dua parti DAP dan PKR mengabaikan komuniti itu.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“DAP mengabaikan sokongan masyarakat India selama bertahun-tahun, menyebabkan mereka beralih kepada PKR.

“Namun, komuniti itu merasakan mereka kini sebagai minoriti dalam PKR, dan ketidakpuasan hati mereka dilihat lebih tinggi berbanding ketika bersama DAP,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, kekecewaan itu jelas ketara dalam PRK Meru dua tahun lalu, di mana PH, meskipun menang kerusi DUN Selangor, kehilangan sebahagian besar undi masyarakat India.

“Itu sebabnya DAP mungkin sedang menggiatkan usaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan komuniti tersebut,” katanya.

Awal minggu ini, Timbalan Ketua DAP Pulau Pinang, Ramkarpal Singh, mengumumkan menghidupkan semula Biro Hal Ehwal Masyarakat India untuk menangani isu utama komuniti India di negeri itu.

Ramkarpal yang juga pengerusi biro itu berkata, ia akan menjadi platform untuk menangani isu seperti kebajikan, pendidikan, dan pengangguran dalam kalangan masyarakat India di Pulau Pinang.

Seorang pemimpin PKR memberitahu FMT,  komuniti India sudah lama tidak berpuas hati dengan parti itu kerana mereka yang ditugaskan untuk menjaga hal ehwal masyarakat tersebut gagal menunaikan tanggungjawab mereka.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik pemimpin India dalam PKR untuk menjaga komuniti ini. Tapi adakah anda mendengar mereka menyuarakan masalah komuniti ini? Tidak,” katanya.

Janji pilihan raya tidak ditunaikan 

P Sivamurugan.

P Sivamurugan dari Universiti Sains Malaysia berkata, keputusan DAP Pulau Pinang menghidupkan semula biro itu mungkin bertujan menangani kesan daripada parti berasaskan komuniti India di Pulau Pinang.

“Komuniti India kini senyap dan tidak pasti dengan dasar kerajaan,” katanya, dan menambah janji dibuat semasa PRU 2022 untuk memperkasakan komuniti itu juga belum ditunaikan.

Katanya, parti politik yang mempunyai ahli dan ahli gabungan dalam kalangan komuniti India perlu meluangkan masa memahami serta menangani keperluan, masalah dan tuntutan komuniti itu bagi mendapatkan sokongan mereka.

J Paniirselvam.

Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (APPG-SDG), J Paniirselvam, berkata tiada parti politik yang boleh mendakwa mendapat sokongan komuniti India.

“Kini, tiada lagi parti politik tunggal untuk orang India. MIC sebelum ini menjalankan kerja yang baik menerusi inisiatif seperti Yayasan Strategik Sosial, tetapi kini kita lihat masyarakat India tersebar dalam pelbagai parti.

“Walaupun kepelbagaian ini mungkin dilihat sebagai perpecahan, ia juga merupakan tanda kematangan politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.