Kurangkan amalan politik, menteri beritahu persatuan sukan

Kurangkan amalan politik, menteri beritahu persatuan sukan

Menteri belia dan sukan berkata jika amalan politik berterusan ia secara tidak langsung akan beri kesan kepada pembangunan dan prestasi atlet serta jurulatih.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Klinik Netball Super League (NSL) 2025. (Gambar Bernama)
KAJANG:
Hannah Yeoh meminta persatuan sukan mengurangkan amalan politik dalam sukan termasuk ketika sesi pemilihan baharu persatuan terlibat.

Menteri belia dan sukan berkata, beliau mahu setiap pemilihan dibuat pada mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan sukan dilaksanakan secara sihat.

Katanya, jika amalan politik itu masih berterusan, beliau khuatir ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pembangunan dan prestasi atlet serta jurulatih mereka.

“Biar politik itu dijalankan oleh parti politik. Persatuan sukan jalankan aktiviti sukan,” katanya pada Klinik Netball Super League (NSL) 2025 anjuran Astro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pemilihan calon jawatan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) Megat D Shahriman Zaharudin yang didakwa terlibat dalam pemalsuan dokumen pencalonan.

Dakwaan itu dilakukan pencabarnya yang juga penyandang jawatan, I Vikneswaran menjelang AGM PHKL hari ini.

Hannah berkata, tuduhan dilemparkan pada mana-mana sesi pemilihan atau AGM persatuan sukan ialah perkara biasa dan sekiranya terbukti bersalah, pesuruhjaya sukan akan memainkan peranan dengan mengambil tindakan selanjutnya.

“Yang penting untuk setiap penganjuran AGM, perjalanan itu semua sudah ada undang-undang dan garis panduan terpakai. Kalau ada apa-apa aduan memang pesuruhjaya sukan akan ambil tindakan atau ada juga yang sampai pergi ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.

Sementara itu, Hannah akan menyerahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menilai taraf kejohanan dunia disertai atlet atau pasukan sebelum memberi ganjaran kepada mereka.

Walaupun terdapat atlet atau pasukan menyertai kejohanan dunia, Hannah berkata standard berkenaan berbeza khususnya bilangan negara yang bersaing dalam pertandingan itu.

“Misalnya Piala Dunia ada lima negara, ada pula 100 negara. Jadi, taraf itu berbeza dan oleh sebab itu, semua ini MSN ada cara pengiraan serta pengiktirafan, kita kena biarkan mereka buat kerja itu dan nasihatkan,” katanya.

Klinik NSL yang dijalankan hari ini menyaksikan penglibatan sebanyak 149 pelajar sekolah menengah berumur dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun dari seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.