Kenapa pokok ditebang sesuka hati, aktivis persoal DBKL

Kenapa pokok ditebang sesuka hati, aktivis persoal DBKL

Chandran Nair berkata tiada pakar menilai risiko bahaya dibawa pokok di kawasan kediamannya yang kini tinggal tunggul sahaja.

Chandran Nair
Aktivis Chandran Nair mendakwa banyak pokok di Greater Klang Valley ditebang begitu sahaja.
PETALING JAYA:
Aktivis hijau mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan mengapa pokok berusia 30 tahun di luar pekarangan kediamannya di Bangsar ditebang.

Chandran Nair, yang juga usahawan, penulis, dan kolumnis FMT, berkata DBKL menyebut ‘bahaya keselamatan’ sebagai alasan penebangan pokok itu yang dianggarkan berusia 30 ke 40 tahun.

Namun, beliau mempersoalkan kesahihan dakwaan dikemukakan.

“Kami mempunyai arboris sendiri yang memeriksa pokok berkenaan beberapa bulan lalu, yang maklum satu dahan berisiko, kemudian dipangkas. Tiba-tiba, dalam tempoh tiga bulan keseluruhan pokok itu ditebang.

“Jika ada risiko, lazimnya ada pakar pokok akan memutuskan sama ada pokok itu akan tumbang dan mendatangkan mudarat, justeru pokok itu mesti ditebang. Tetapi, kelibat pokok sudah tiada, tinggal tunggul,” kata Nair kepada FMT.

Katanya, kontraktor bertanggungjawab menebang tidak dapat mengemukakan apa jua dokumentasi menjelaskan mengapa pokok berkenaan dianggap berbahaya.

chandran
Satu daripada tunggul kayu daripada pokok ditebang di kawasan kejiranan Chandran Nair, baru-baru ini.

“Tiada seorang pun daripada DBKL datang. Hanya kontraktor. Saya tiada keupayaan untuk bertanya: Siapa beri hak kepada anda, dan mana kertas kerja? Ke mana pokok ini dibawa? DBKL, tolong beri jawapan.”

Nair turut menekankan perbezaan ketara antara advokasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi penanaman semula dengan tindakan di lapangan.

“Perdana menteri berkata: ‘Jika satu pokok ditebang, tanam semula seratus.’ Tetapi, di kawasan saya, seperti misinya adalah tebang seratus pokok dan tiada tanam semula.

Dalam kolum diterbitkan FMT awal bulan ini, Nair merujuk peningkatan jumlah pokok di Greater Klang Valley, ditebang secara tidak perlu.

Beliau mempersoalkan pendanaan bagi operasi itu dan ke mana perginya kayu-kayu pokok berharga tersebut.

Katanya, ketiadaan pengawasan mencukupi mampu membuka pintu kepada kegiatan haram, seperti menyalurkan kayu dalam industri biojisim dan pasaran gelap.

chandran
Chandran Nair menanam anak pokok di ratusan tunggul sekitar Bangsar.

Lebih setahun lalu, Nair mengambil inisiatif sendiri menanam anak pokok bagi menggantikan tunggul ditinggalkan akibat penebangan.

Sehingga kini, beliau dan pembantu telah menanam ratusan anak pokok di sepanjang laluan di Bangsar, dengan kebanyakan tumbuh segar di hadapan lot kedai, perumahan, termasuk sekolah.

Walaupun penebangan pokok matang di hadapan kediamannya hampir mematahkan semangatnya, Nair kekal dengan keazaman dan merancang tanaman semula minggu depan.

“DBKL berjanji kepada saya bahawa mereka akan menanam semula pokok itu, tetapi terdapat lebih 200 tunggul di kawasan Lucky Garden dan Bukit Bangsar sahaja kesan penebangan sejak 10 tahun lalu, dan DBKL tidak pernah berbuat apa-apa,” katanya.

Nair menyeru DBKL melaksanakan proses wajar, seperti melaksanakan sistem tiket perjalanan menjejak dan memantau kayu daripada penebangan ke destinasi terakhirnya.

“Situasi ini menuntut pengurusan dan kebertanggungjawaban lebih baik. Saya datang ke sini dan mahu sebut, kami akan cabar anda. Kami akan pastikan anda bertanggungjawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.