Masih ada perlu diperbaiki, kata Thinaah selepas mara ke akhir Indonesia Masters

Masih ada perlu diperbaiki, kata Thinaah selepas mara ke akhir Indonesia Masters

Pearly Tan dan M Thinaah menundukkan gandingan Korea Selatan untuk mara ke slot perlawanan akhir Indonesia Masters 2025.

pearly thinaah
Pearly Tan dan M Thinaah akan berdepan Kim Hye Jeong dan Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada perlawanan akhir esok. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M Thinaah, mengesahkan tiket ke slot perlawanan akhir Indonesia Masters 2025 selepas menundukkan gandingan Korea Selatan, Lee Yeon Woo dan Lee Yu Lim, dalam aksi separuh akhir di Istora Senayan.

Beregu pilihan kedua itu mengambil masa 52 minit untuk menyingkirkan pasangan Korea Selatan, yang kini menduduki ranking ke-146 dunia, dengan 21-19 dan 21-16.

“Agak puas hati, tetapi masih ada yang perlu diperbaiki,” kata Thinaah selepas tamat perlawanan, dan menambah bahawa sokongan peminat menyuntik semangat sepanjang perlawanan.

Pearly mengakui prestasi mereka sedikit menurun pada awal set kedua, tetapi mereka berjaya mendapatkan semula momentum dan kini akan beri tumpuan pada strategi untuk perlawanan esok.

Aksi di peringkat final merupakan yang pertama untuk Pearly-Thinaah bagi tahun ini, selepas sebelum ini hanya mampu bersaing pusingan pertama pada Terbuka Malaysia dan separuh akhir di Terbuka India.

Esok Pearly-Thinaah akan bertemu pasangan Korea Selatan iaitu Kim Hye Jeong dan Kong Hee Yong.

Sebelum itu, Kim dan Kong mengambil masa 55 minit untuk menyingkirkan gandingan China, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian, dengan 21-17 dan 22-20.

Beregu lelaki buat kejutan

Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun, melangkah ke perlawanan akhir Indonesia Masters 2025 dengan bergaya selepas mengejutkan ‘senior’ mereka Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Wei Chong dan Kai Wun mengambil masa 31 minit untuk menundukkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024 itu, dengan kemenangan 21-18, 21-15 dalam aksi separuh akhir di Istora Senayan.

“Kami bermain tanpa tekanan tadi dan berjaya melaksanakan perancangan permainan dengan baik. Perlawanan esok dijangka mencabar, tetapi kami berharap yang terbaik,” kata Wei Chong selepas perlawanan.

Senada dengan Wei Chong, Kai Wun bertekad untuk memberikan aksi terbaik esok.

Pasangan nombor 13 dunia itu dijadual berdepan beregu tuan rumah, yang juga pasangan nombor empat dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, dalam aksi final.

Fajar-Muhammad Rian mara selepas menewaskan gandingan muda dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, dengan keputusan 21-14, 24-22 dalam aksi 48 minit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.