
Fadhli berkata kenyataan Pemuda PAS sebelum ini hanya sebagai sokongan kepada penganjur yang mempunyai hak untuk berhimpun sebagai rakyat Malaysia.
“Adik-adik jangan bimbang. Kami tidak akan tunggang himpunan ini, silakan berhimpun,” katannya di Facebook sambil menyatakan bendera PAS tidak akan dikibarkan pada perhimpunan terbabit.
“Saya beri jaminan, tiada bendera PAS akan berkibar esok di himpunan ini. Jika ada, mohon buat rakaman individu berkenaan untuk disiasat dan dikenakan tindakan jika ahli parti kami.”
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata pimpinan PAS tiada halangan untuk ahlinya menyertai himpunan terbabit.
“Sebagaimana PAS tiada halangan untuk ahlinya ke pasar malam atau ke masjid, ia atas nama individu, bukan atas nama ahli PAS,” katanya.
Fadhli mengulas laporan media memetik kenyataan Gerakan Mahasiswa yang meminta PAS tidak menunggang populariti perhimpunan antirasuah anjuran pertubuhan itu esok demi kepentingan mereka.
“Pesanan kami kepada Pemuda PAS dan Armada Bersatu: Kami menjemput anda turut serta himpunan ini kerana ini merupakan himpunan untuk semua warga tanpa kira latar belakang parti atau ideologi.
“Tapi kami memberi amaran supaya jangan membawa logo, slogan, nama, dan imej parti ketika menyertai himpunan 25 Januari ini. Himpunan ini sepenuhnya milik rakyat dan bukan kepunyaan parti politik untuk ditunggang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah itu masih belum menyerahkan semula notis mereka untuk acara terbabit.
Ia termasuk kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan itu.
Rusdi turut mempertikaikan dakwaan bahawa DBKL bukan pemilik tempat itu.
Sekretariat perhimpunan itu sebelum ini mendakwa syarat yang ditetapkan oleh polis Dang Wangi tidak mempunyai asas undang-undang dan bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.