Tampar kakitangan Puspakom, warga emas didenda RM1,600

Tampar kakitangan Puspakom, warga emas didenda RM1,600

Sebelum ini tular video seorang lelaki menampar kakitangan Puspakom Johor Bahru hanya kerana lorinya gagal dalam pemeriksaan kenderaan.

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Koh Soon Hua didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan mencederakan kakitangan Puspakom. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan mencederakan kakitangan Puspakom.

Tertuduh, Koh Soon Hua, 60, dikenakan hukuman itu oleh Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin itu, lapor Harian Metro.

Dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Suzaini Mohd Taib di Puspakom dekat Jalan Bertam 23, kira-kira 5.40 petang, 18 Nov lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan tidak lagi bekerja dan disara anak lelakinya selain mempunyai masalah kesihatan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak menampar kakitangan Puspakom Johor Bahru, November lalu hanya kerana lorinya gagal dalam pemeriksaan kenderaan.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis Puspakom di Taman Daya sebelum tular di media sosial.

Polis mengesahkan kejadian berlaku 5.40 petang pada 18 Nov tahun lalu dan laporan diterima daripada mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang juga kakitangan Puspakom.

Siasatan polis mendapati lelaki terbabit bertindak menampar mangsa kerana berang lorinya gagal dalam pemeriksaan dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.