Suami isteri maut SUV tenggelam dalam parit

Suami isteri maut SUV tenggelam dalam parit

Mangsa maut di lokasi kejadian setelah kenderaan mereka tenggelam di dalam parit penuh air hujan susulan terbabas.

SUV terbabas
Kesemua mangsa dikeluarkan orang awam sebelum pasukan operasi bomba tiba, dengan dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri warga emas maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka tenggelam di dalam sebuah parit selepas terbabit kemalangan di Mersing tengah hari tadi.

Dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pada 12.17 tengah hari itu, Volkswagen Tiguan yang dinaiki mangsa dikenali sebagai Zainab Jusof dan Shahrom Tahir terbabas sebelum tenggelam di dalam parit yang dipenuhi air selepas hujan.

Difahamkan mangsa yang maut dalam perjalanan ke Terengganu untuk menghadiri majlis kenduri saudara mereka, lapor Kosmo.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Johor, sepasukan 16 anggota dikerah ke lokasi kejadian di Jalan Mersing Endau, Kampung Bukit Buruk.

“Setibanya pasukan operasi di tempat kejadian, didapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan sebuah kereta Volkswagen yang terbabas ke dalam air.

“Kesemua mangsa dikeluarkan orang awam sebelum pasukan tiba. Dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Selain mangsa yang maut, terdapat tiga mangsa lain yang cedera, manakala tiga lagi selamat, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.