Rekod kedatangan pelancong luar biasa, Motac kaji sasaran baharu TMM2026

Rekod kedatangan pelancong luar biasa, Motac kaji sasaran baharu TMM2026

Menteri Tiong King Sing berkata keputusan diambil susulan kejayaan menarik 38 juta pelancong tahun lalu berbanding sasaran 36 juta sempena TMM2026.

Motac menyasarkan sekurang-kurangnya RM150 bilion hasil daripada sektor pelancongan dengan fokus kepada usaha meningkatkan perbelanjaan per kapita pelancong asing.
PETALING JAYA:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan menetapkan sasaran baharu kedatangan pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang sebelum ini ditetapkan 36 juta orang.

Menteri Tiong King Sing berkata, keputusan itu diambil susulan kejayaan menarik 38 juta pelancong tahun lalu yang disifatkan sebagai pencapaian luar biasa.

“Jadi sudah tiba masanya sasaran TMM2026 dikaji semula kerana jika kita kekalkan angka 36 juta, ia menjadi sasaran lebih rendah berbanding pencapaian semasa.

“Sasaran baharu ini lebih realistik dan dapat memberi impak ekonomi besar kepada negara melalui sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Motac juga menyasarkan sekurang-kurangnya RM150 bilion hasil daripada sektor pelancongan dengan fokus kepada usaha meningkatkan perbelanjaan per kapita pelancong asing.

“Sekarang kita berada pada tahap RM3,000 per kapita (setiap pelancong), tetapi kita sedang berusaha untuk meningkatkan nilai ini. Apabila pelancong membelanjakan lebih banyak, ekonomi tempatan akan menerima manfaat besar.

“Kami akan melihat data terkini untuk menetapkan sasaran yang lebih relevan dengan trend pelancongan global. Kita juga perlu pastikan ada produk eksklusif yang mampu menarik minat mereka.

“Semua sektor, termasuk industri perhotelan, restoran mewah dan penganjur aktiviti premium, harus bekerjasama untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong kelas atasan dan kelas pertengahan,” katanya.

Selain itu, Motac akan terus mempergiat usaha mempromosi industri rumah inap dan pelancongan luar bandar melalui pelbagai kempen khususnya di platform digital.

“Kami mahu pelancong merasai sendiri keunikan Malaysia yang pelbagai kaum. Sebagai contoh, di Sarawak, kita boleh menawarkan pengalaman tinggal di rumah panjang, mencuba makanan tempatan, dan menyertai aktiviti komuniti.

“Semua platform media sosial akan digunakan, termasuk kerjasama dengan selebriti dan pempengaruh tempatan serta antarabangsa. Kami juga akan memanfaatkan pendekatan baru supaya promosi kami lebih meluas,” kata Tiong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.