Hakim baharu pengerusi prosiding saman RM35 bilion 1MDB terhadap Najib

Hakim baharu pengerusi prosiding saman RM35 bilion 1MDB terhadap Najib

Hakim Mahkamah Tinggi Arief Emran Arifin akan ambil alih tugas daripada Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

Arief Emran Arifin
Hakim Arief Emran Arifin merupakan anak kepada bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria.
PETALING JAYA:
Seorang hakim baharu ditugas mempengerusikan prosiding saman RM35 bilion oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa bekas ahli pengurusan tertinggi syarikat itu.

Hakim Arief Emran Arifin akan mengambil alih tugas itu daripada Hakim Mahkamah Tinggi Atan Mustaffa Yussof Ahmad, lapor The Edge.

Saman itu turut menamakan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan Casey Tang, yang kedua-duanya tidak dapat dikesan, sebagai defendan.

Defendan lain termasuk bekas timbalan ketua pegawai kewangan Terence Geh; bekas peguam Jasmine Loo; bekas ketua pegawai pelaburan Vincent Beng; bekas ketua pegawai operasi Radhi Mohamad; dan bekas pengarah pelaburan Kelvin Tan.

Arief ialah anak kepada bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria, dan sebelum menyertai badan kehakiman, beliau merupakan rakan kongsi di Wong & Partners, yang sebelum ini bertindak bagi pihak 1MDB.

Beliau sebelum ini mempengerusikan prosiding saman RM42 juta oleh SRC International Sdn Bhd terhadap Najib dan pada 2022, mengeluarkan injunksi Mareva untuk membekukan aset Najib. Keputusan itu dikekalkan melalui rayuan.

Kes saman itu sedang didengar di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Sementara itu, prosiding saman USD3.78 bilion berasingan oleh 1MDB terhadap Low Taek Jho, atau Jho Low, beberapa ahli keluarganya dan rakan sekutunya juga akan dipengerusikan oleh hakim baharu berikutan pemindahan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz daripada bahagian sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada bahagian kuasa-kuasa khasnya awal bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.