45 pemilik premis tanggung hutang TNB RM8.5 juta angkara pelombong bitcoin

45 pemilik premis tanggung hutang TNB RM8.5 juta angkara pelombong bitcoin

Pemilik rumah dan pengusaha perniagaan berkata identiti mereka dicuri untuk membuka akaun TNB.

Lee Chean Chung
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung (duduk, tengah) dan beberapa mangsa yang terpaksa menanggung bil TNB tinggi akibat penipuan pelombong bitcoin.
PETALING JAYA:
Seramai 45 lima pemilik rumah dan pengusaha perniagaan menanggung hutang bil elektrik berjumlah RM8.5 juta selepas identiti mereka dicuri oleh penyewa dan digunakan untuk melombong bitcoin secara haram.

Mangsa mendakwa mereka tidak menyedari operasi itu wujud sehingga menerima notis daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB), menyebabkan ramai antara mereka berdepan tekanan kewangan dan emosi.

Pada sidang media hari ini, mereka menyuarakan kekecewaan dan kebimbangan.

KC Teo, 57,  ‘berhutang’ RM300,000 dengan TNB selepas mendapati penyewanya menggunakan identiti berbeza untuk menyewa rumahnya.

Walaupun Teo, yang bergantung pada pendapatan sewa, telah mendapat tahu identiti sebenar penyewanya, beliau masih terpaksa membayar bil syarikat utiliti itu.

“TNB patut kejar (penyewa itu), bukan saya. Saya tak bersalah,” kata Teo yang berkerusi roda.

Seorang lagi mangsa hanya mahu dikenali sebagai Ganeson hanya mengetahui penyewanya melombong Bitcoin secara haram selepas menerima panggilan daripada TNB kerana gagal menjelaskan bil berjumlah RM73,000.

Walaupun telah membayar RM70,000, beliau berkata, pemilik premis tidak sepatutnya menanggung beban penipuan sedemikian.

Seorang ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Tom berkata, 10 akaun TNB didaftarkan atas nama syarikatnya menggunakan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang palsu.

Katanya, akaun-akaun tersebut berhutang bil elektrik sebanyak RM700,000.

Seorang lagi mangsa yang mengenalkan dirinya sebagai Loo mendapati pada April 2024 bahawa kad pengenalannya telah digunakan untuk menyewa lot kedai yang digunakan untuk melombong bitcoin secara haram.

‘Penyewa’ tersebut berhutang bil berjumlah RM196,000.

“Saya tak pernah pergi (lot kedai itu). Saya (hanya) dapat panggilan daripada TNB. Saya kemudian dapat tahu lot kedai itu disewa menggunakan MyKad saya serta sijil setem dan perjanjian sewa yang palsu

“Mereka guna identiti saya untuk menyewa tempat itu bagi menjalankan kegiatan bitcoin. TNB hanya dapat tawarkan saya pilihan bayar (bil) secara ansuran,” katanya.

‘Mesti ada akauntabiliti’

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang turut menghadiri sidang media itu menggesa TNB membentuk pasukan petugas untuk menyiasat kegiatan bitcoin.

“TNB perlu melihat merit kes ini dan bukan hanya beritahu (mangsa) bayar secara ansuran,” katanya menambah, beliau akan membangkitkan isu itu di Parlimen.

“Kita perlu keadilan untuk semua, dan perkara ini mesti diteliti. Mesti ada akauntabiliti bersama antara pemilik premis, penyewa dan pembekal elektrik.”

Lee juga berkata, beliau akan mencadangkan pindaan Akta Bekalan Elektrik 1990 ketika sidang Parlimen bulan depan.

Katanya, pindaan ini bertujuan mengukuhkan penguatkuasaan terhadap kegiatan penipuan, menambah baik proses pengesahan pelanggan, dan mewajibkan sistem pemantauan untuk penggunaan bekalan tenaga luar biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.