14 pendatang tanpa izin ditahan di tapak pembinaan

14 pendatang tanpa izin ditahan di tapak pembinaan

Tangkapan melibatkan 12 rakyat Bangladesh dan masing-masing seorang Myanmar serta Pakistan di Terengganu.

Semua pendatang tanpa izin
Antara pendatang tanpa izin ditahan di tapak pembinaan di Hulu Terengganu semalam. (Gambar JIM Terengganu)
KUALA TERENGGANU:
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 14 pendatang tanpa izin dalam Op Sapu dan Kutip di enam tapak pembinaan di Hulu Terengganu, semalam.

Pengarah Imigresen Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor, berkata tangkapan itu melibatkan 12 rakyat Bangladesh, dan masing-masing seorang warga Myanmar dan Pakistan yang berusia antara 24 hingga 54 tahun.

Beliau berkata, warga asing itu ditahan atas beberapa kesalahan termasuk tinggal lebih masa, tiada pas kerja dan tiada dokumen perjalanan sah.

“Ketika serbuan di enam lokasi, warga asing itu sedang leka bekerja. Sebahagian daripada mereka yang menyedari kehadiran penguat kuasa cuba meloloskan diri tetapi gagal kerana kawasan berkenaan telah dikepung.

“Seramai 14 daripada 34 warga asing yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusri berkata, semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.