
SPRM dalam satu kenyataan berkata usaha ini diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara.
“SPRM dan kerajaan komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.
“Sehingga kini sebanyak RM29.73 bilion berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan negara. Ini tidak termasuk USD20 juta (RM90 juta) yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) baru-baru ini,” kata kenyataan itu.
Menurut SPRM, wang USD20 juta daripada dana 1MDB yang berjaya dipulihkan itu adalah berkaitan dengan projek tenaga solar di Malaysia.
Katanya, wang itu berjaya dipulihkan hasil kerjasama erat SPRM bersama FBI dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
“Wang ini melibatkan Frank White Jr, seorang ahli perniagaan dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC (DuSable).
“White Jr secara sukarela bersetuju menyerahkan wang tersebut kepada DOJ selepas mendapati dana yang diterima DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB,” katanya.