Pemimpin PKR Sarawak didenda RM5,000 kerana hina Agong

Pemimpin PKR Sarawak didenda RM5,000 kerana hina Agong

Mahkamah Sesyen memutuskan hukuman itu memadai kerana Iswardy Morni tiada rekod kesalahan sama.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan pemimpin PKR, Iswardy Morni dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
KUALA LUMPUR:
Pemimpin PKR, Iswardy Morni didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana menghina Yang di-Pertuan Agong empat tahun lalu.

Hakim MM Edwin Paramjothy berkata Iswardy, 47, mendapat hukuman lebih ringan kerana ini merupakan kesalahan pertamanya.

Beliau menjelaskan bahawa pesalah pertama secara umumnya berhak menerima faktor mitigasi, kecuali dalam kes yang terlalu serius sehingga tidak membolehkan sebarang kelonggaran hukuman.

“Dalam kes ini, tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan serupa sebelum ini, yang mengukuhkan hujah mitigasi,” katanya di mahkamah dipenuhi penyokong Iswardy yang juga ketua PKR Petra Jaya.

Hakim kemudian menjatuhkan denda maksimum RM5,000, dengan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Iswardy membayar denda itu.

Beliau sebelum ini disabitkan bersalah pada 30 Dis lalu selepas mahkamah memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim kemudian menangguhkan prosiding ke hari ini bagi membolehkan pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan.

Bagi pesalah pertama, hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah denda sehingga RM5,000, penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada Oktober tahun lalu, hakim memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie selepas memanggil sembilan saksi.

Iswardy didakwa pada 1 Jun 2021 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana kenyataan yang dibuat di Facebook yang dianggap berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Kenyataan itu terkandung dalam sebuah video bertajuk ‘Total lockdown: apa yang kerajaan gagal belajar dalam setahun’, yang dimuat naik ketika negara di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin.

Iswardy melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada 3 petang 29 Mei 2021.

Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim manakala Iswardy diwakili peguam Faizal Rahman dan Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.