
Mengulas dakwaan dibuat Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa, Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong menjelaskan pihaknya tidak mempolitikkan isu terbabit sebaliknya membawa suara rakyat.
“Takkan bila MCA minta DAP yang ada dalam kerajaan negeri itu tak boleh, merekalah kena buat penjelasan.
“Kalau nak tuduh kita tunggang isu, apa pula pendirian Amanah tentang penjualan arak? MCA ini sebuah parti cukup harmoni dan faham sensitiviti orang Islam dan Melayu…bukan cauvinis,” katanya kepada FMT.
Semalam, Mujahid menempelak MCA Perak yang cuba ‘menunggang’ isu pengharaman dan menjadi hero dalam isu jualan arak selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merancang memperluas larangan ditetapkan di Manjoi ke kawasan lain.
Sabtu lalu, Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin, dilaporkan berkata ada cadangan larangan penjualan arak dan minuman beralkohol diperluas ke kawasan majoriti penduduk Melayu-Islam. Buat masa ini, larangan sejak 2021 itu hanya dilaksanakan di Manjoi, bandar satelit di Ipoh.
Beliau berkata, antara cadangan diterima supaya larangan itu diperluas ke Ulu Chepor, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.
Susulan itu, MCA menyalahkan pimpinan kerajaan Perak khususnya DAP yang didakwa menyembunyikan isu sekatan penjualan arak.
Ketua Penerangan MCA Perak Chung Kok Heung mendesak DAP melindungi hak orang bukan Islam serta memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung sekatan itu.
Mengulas lanjut, Neow berkata isu itu seharusnya diurus dengan baik supaya tidak menjadi polemik, selain berkait hak bukan Islam asalkan tidak bertentangan undang-undang serta menjejaskan keselamatan orang awam.
“Kita faham sensitiviti orang Melayu dan Islam tetapi dalam soal penjualan arak ini biarlah dibuat berdasarkan prinsip penawaran dan permintaan, kalau tak ada permintaan orang tak jual peniaga jual arak di kawasan orang Melayu.
“Biar dijual ikut permintaan walaupun hanya 1% orang bukan Islam beli,” katanya menegaskan MCA tidak berkompromi dengan kesalahan berkait dan kesan minum arak seperti memandu ketika mabuk.