
Sibutramine merupakan sebatian kimia yang bertindak di otak sebagai penyekat rasa lapar atau selera makan (appetite suppressant) yang digunakan di dalam kebanyakan produk bagi tujuan menguruskan badan.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan ubat tersebut merupakan bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM dan didapati produk tersebut tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Antaranya, tiada nama sebenar produk dalam bahasa Malaysia, serta tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar, atau pemilik hak pengilangan dan pengimport. Oleh itu, produk ini tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Semua peniaga, termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan,” kata kenyataan itu.
Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial dikehendaki menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.
KKM juga menasihatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk berkenaan supaya menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan.
“Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung, seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat.
“Selain kesan sampingan serius, terdapat juga kesan sampingan yang ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya,” katanya.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).