Elak harga kereta naik, pemimpin PAS gesa kaji semula semakan duti eksais OMV

Elak harga kereta naik, pemimpin PAS gesa kaji semula semakan duti eksais OMV

Khairil Nizam Khirudin khuatir penetapan duti eksais baharu yang diunjurkan sehingga 20% itu akan menjejaskan daya beli rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin, penetapan duti eksais baharu itu juga mungkin mempengaruhi daya tahan syarikat automotif tempatan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Khuatir daya beli rakyat terjejas, seorang wakil rakyat pembangkang menggesa kerajaan mengkaji semula semakan semula nilai pasaran terbuka (OMV) duti eksais yang dijangka dilaksana tahun depan.

Menurut Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin, penetapan duti eksais baharu itu juga mungkin mempengaruhi daya tahan syarikat automotif tempatan, terutamanya bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD).

Pemimpin PAS itu turut meluahkan rasa bimbang langkah itu akan merencatkan pelaburan bagi Malaysia, menyekat usahanya menjadi pusat pengeluaran automotif yang berdaya saing di rantau Asean.

“Kerajaan harus memberi perhatian lebih kepada kebajikan rakyat, dengan memastikan sebarang perubahan dalam polisi fiskal tidak merugikan golongan pengguna, terutama dalam sektor yang menjadi keperluan asas seperti pengangkutan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kenaikan pelbagai cukai dan penyelarasan subsidi diesel sudahpun mendatangkan kesan terhadap rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Usah terus membohongi rakyat yang telah memberikan kepercayaan tetapi akhirnya hanya menjadi ‘janji tinggal janji’,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Shamsor Zain berkata, pelaksanaan OMV yang diunjurkan sehingga 20% menjelang 2026 dijangka mendorong peningkatan harga purata kereta CKD antara 10 hingga 30%.

Katanya, pihaknya akan terus berhubung dengan Kementerian Kewangan untuk melakukan perbincangan dan sedia bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan impak pelaksanaan OMV.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.