
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, memaklumkan bahawa kerajaan telah membentuk jawatankuasa yang membincangkan pembiayaan politik dua kali, iaitu pada 2015 ketika pentadbiran Najib Razak dan 2018 oleh Dr Mahathir Mohamad.
Wan Saiful merupakan ahli kedua-dua jawatankuasa tersebut.
Beliau turut menarik perhatian kepada Kumpulan Rentas Parti Parlimen, yang telah menyediakan draf rang undang-undang pendanaan politik pada Nov 2025.
Kumpulan tersebut dianggotai Ahli Parlimen dan pertubuhan sivil, antaranya Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Pusat untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme, Transparency International-Malaysia, dan Bersih.
“Bagi saya sebenarnya kita tidak perlu memanjang-manjangkan perbincangan mengenai Akta Pendanaan Politik. Topik ini sudah dibincangkan terlalu lama.
“Sekarang ini isunya ialah mahu buat atau tidak,” kata Wan Saiful di Facebook.
Ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu itu mengulas berita perasmian Persidangan Antarabangsa Pembiayaan Politik 2025 pada 14 Jan lalu.
Di acara tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata persidangan itu platform untuk dialog bersama pakar antarabangsa, pembuat dasar, pengawal selia dan parti politik.
Harian Metro melaporkan Azalina berharap pertukaran idea itu akan membimbing perangkaan rang undang-undang pendanaan politik.
“Perkara ini telah dibincangkan hingga masak,” kata Wan Saiful.
“Kerajaan tak perlu berhelah dengan mengatakan perlu pelbagai kajian lagi. Jika nak buat, terus bawa saja satu draf untuk dibincangkan oleh parti-parti politik dan juga dalam Jawatankuasa Pilihan Khas, dan setelah dipersetujui oleh semua parti politik, terus saja ke Dewan Rakyat.”
Pada Jun 2023, Wan Saiful menulis di Facebook bahawa akta itu paling mudah untuk dibawa ke Dewan Rakyat kerana drafnya sudah ada dan kajian telah dijalankan.
Katanya, libat urus telahpun dijalankan dengan semua parti.