
Kes itu membabitkan Frenz Pool Café dan Tuwang 69 Sdn Bhd yang menstrim kandungan Astro tanpa kebenaran iaitu membabitkan tayangan awam tanpa kebenaran perlawanan EPL antara Manchester United dengan Brighton & Hove Albion pada 16 Sept 2023 disiarkan menerusi Astro Supersport 3.
Astro Malaysia Holdings Berhad dalam kenyataan memaklumkan pelanggaran itu yang turut melibatkan penggunaan logo dan elemen penjenamaan Astro secara tidak sah, yang menjadi faktor penting dalam keputusan mahkamah dikeluarkan 7 Jan lalu.
Selain ganti rugi, mahkamah turut mengeluarkan injunksi kekal terhadap defendan, melarang mereka daripada menstrim kandungan hak cipta Astro secara tidak sah pada masa akan datang.
Defendan juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM10,000.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Astro Tai Kam Leong berkata keputusan itu membuktikan komitmennya untuk memastikan mereka yang mengaut keuntungan daripada kandungan cetak rompak dikenakan tindakan tegas.
“Perjuangan kami tidak terhenti di sini, kami akan terus bertindak melindungi kandungan bermutu kami bagi membina ekosistem digital yang lebih adil untuk semua,” katanya.
Pada November tahun lalu, sebuah pub tempatan diarahkan membayar ganti rugi statutori kepada Astro.