
Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca bersama.
“Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata pasangan terbabit.
Mereka didakwa dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik FashionValet, iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah memohon mahkamah mengguna pakai jumlah jaminan sama dalam prosiding sebelum ini, iaitu RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
“Saya mohon satu tarikh sebutan bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan baki dokumen berkaitan kes ini kepada pihak pembelaan.”
Peguam Ashok Athimulan yang mewakili pasangan itu tidak membantah isu jaminan.
Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan jaminan sama diguna pakai dan menetapkan sebutan kes pada 10 Mac ini.
Terdahulu, Haresh berkata, dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah untuk mengemukakan satu pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kepada pasangan suami isteri itu.
“Pertuduhan telah difailkan, oleh itu pihak pendakwaan mohon untuk mendakwa dan pertuduhan dibacakan kepada kedua-dua tertuduh,” katanya.
Pada 5 Dis lalu, Vivy dan Fadzarudin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai pengarah FashionValet melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka, dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.
Pasangan itu juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi sehingga kes selesai.