Usah tunggu 2027, percepat autonomi kepada guru, gesa ahli akademik

Usah tunggu 2027, percepat autonomi kepada guru, gesa ahli akademik

Wan Marzuki Wan Jaafar dari UPM berkata pemberian autonomi boleh dilaksana tahun ini jika sistem sokongan, latihan dan infrastruktur sudah tersedia.

cikgu
Tahun lalu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan warga pendidik khususnya guru akan diberi autonomi lebih besar dalam pengenalan kurikulum baharu pada 2027.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik berpendapat autonomi kepada warga pendidik terutama guru perlu dilaksanakan seawal tahun ini atau pertengahan 2026 berbanding 2027 ditetapkan Kementerian Pendidikan.
Wan Marzuki Wan Jaafar.

Wan Marzuki Wan Jaafar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, penangguhan proses transformasi hanya akan melambatkan perubahan yang amat diperlukan sistem pendidikan negara.

“Pada pandangan saya, autonomi guru tidak perlu ditangguhkan hingga 2027.

“Jika sistem sokongan, latihan, dan infrastruktur sudah bersedia, pelaksanaan boleh dipercepatkan ke 2025 atau selewat-lewatnya 2026,” kata dekan Fakulti Pendidikan UPM kepada FMT.

Namun, beliau berpandangan langkah itu perlu dilaksana secara berperingkat supaya semua pihak memahami dasar berkenaan selain salah guna autonomi dapat diminimumkan.

Pada Mei 2024, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan warga pendidik akan diberi autonomi lebih besar dalam pengenalan kurikulum baharu pada 2027, dengan tanggungjawab serta integriti.

Wan Marzuki berkata, langkah menyahpusat sistem pendidikan dan pemberian autonomi itu diyakini dapat mengurangkan keterbatasan kreativiti, inovasi serta keupayaan pendidik memenuhi keperluan pelajar yang berbeza.

Menurutnya, autonomi itu membolehkan pendidik merancang pendekatan pengajaran lebih relevan dalam konteks tempatan, menumpukan perkembangan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah.

“Namun, ini memerlukan keseimbangan kerana autonomi terlalu luas tanpa panduan boleh mengakibatkan ketidaksamaan dalam kualiti pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Katanya, dalam usaha memperkenalkan autonomi kepada pendidik, guru perlu dilengkapkan dengan kemahiran pengurusan kurikulum dan pengajaran kreatif, selain perlunya pemantauan bagi memastikan kualiti dan keberkesanannya.

Libat urus pemegang taruh

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Anuar Ahmad, pula menggesa kerajaan memulakan usaha menjayakan dasar pemberian autonomi mulai sekarang dengan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh.

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad.

Katanya, walaupun dasar itu disasarkan dilaksanakan dua tahun lagi, persediaan awal dengan mendapat pandangan pelbagai pihak perlu dibuat segera agar segala persoalan dapat dirungkai.

“Kita nak lihat komitmen kerajaan untuk beri autonomi kepada guru. Kalau nak laksanakan 2027 kena bermula dari sekarang dengan mengadakan sesi libat urus tentang konsep autonomi, baru nampak proses itu berjalan.

“Masalahnya sekarang rakyat tak nampak pergerakan itu,” katanya.

Anuar bagaimanapun menyambut baik komitmen KPM untuk melaksanakan dasar pemberian autonomi yang dapat ‘membebaskan’ sistem pendidikan daripada dasar pentadbiran berpusat diwarisi penjajah.

Menurutnya, dasar itu juga sesuai dengan teknologi yang bergerak pantas, memerlukan guru lebih kreatif dan berinovasi dalam menyampaikan pembelajaran.

“Langkah itu menjadikan pendidikan lebih dinamik, sesuai dengan keperluan setempat dan guru lebih inovasi, ini dapat percepatkan pembelajaran anak-anak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.