PGA tumpas kegiatan perdagang orang di Pasir Mas, 6 ditahan

PGA tumpas kegiatan perdagang orang di Pasir Mas, 6 ditahan

Enam warga asing termasuk empat kanak-kanak disyaki warga Myanmar itu ditahan pagi semalam menerusi Op Taring Wawasan.

NIK ROS AZHAN
Menurut Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, seorang lelaki warga tempatan disyaki tekong menyeludup masuk warga asing berkenaan turut ditahan dalam operasi terbabit. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan pemerdagangan orang selepas menahan enam warga asing disyaki dari Myanmar termasuk empat kanak-kanak di Kampung Chenerai Alor Pasir, Pasir Mas semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan pada 5.30 pagi itu dijalankan atas maklumat yang diperoleh pasukannya menerusi Op Taring Wawasan.

“Hasil pemeriksaan di sebuah rumah PGA menjumpai dua lelaki dan empat wanita termasuk empat kanak-kanak disyaki warga Myanmar.

“Kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen perjalanan masuk ke Malaysia yang sah dan disyaki diseludup masuk melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang juga pemilik rumah dan disyaki menjadi tekong untuk menyeludup masuk semua warga asing berkenaan ke negara ini.

“Kesemua warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala tekong terbabit ditahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.