Perubahan terma penswastaan MAHB ikut peraturan, kata GDA

Perubahan terma penswastaan MAHB ikut peraturan, kata GDA

Gateway Development Sdn Bhd (GDA) menjelaskan pengambilalihan MAHB ikut peraturan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

mahb malaysia airports
Kelmarin, media melaporkan tarikh tutup penerimaan tawaran oleh GDA untuk saham belum dimiliki penawar dalam MAHB telah dilanjutkan kepada 4 Feb.
PETALING JAYA:
Gateway Development Sdn Bhd (GDA) menepis kebimbangan perubahan terma dalam pengambilalihan saham dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dengan menjelaskan semua proses mengikut peraturan.

Konsortium itu dalam kenyataan berkata pelaksanaan terbabit dilakukan dengan mematuhi sepenuhnya peraturan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenai pengambilalihan, penggabungan dan pengambilalihan wajib.

“Semakan GDA terhadap syarat penerimaan dibenarkan secara sah menurut Nota 7 hingga Perenggan 6.01 peraturan SC,” katanya.

GDA turut menjelaskan bahawa konsortium mempunyai hak meminda syarat penerimaan seperti diperuntukkan di bawah dokumen tawaran bertarikh 6 Dis 2024.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa pihak berkuasa campur tangan dan memastikan proses pengambilalihan saham MAHB oleh konsortium GDA dipatuhi.

Ahli Parlimen Pasir Mas membuat gesaan itu susulan perubahan terma termasuk penurunan ambang penerimaan daripada 90% kepada 85% dan lanjutan tarikh tutup tawaran.

Dakwanya, keadaan itu disifatkan serius kerana menimbulkan persoalan berkait integriti pasaran dan perlindungan terhadap pemegang saham minoriti.

Kelmarin, media melaporkan tarikh tutup bagi penerimaan tawaran oleh GDA untuk saham belum dimiliki penawar dalam MAHB telah dilanjutkan daripada 24 Jan kepada 4 Feb.

Ia adalah lanjutan kali ketiga selepas konsortium gagal memenuhi syarat asal sebanyak 90%.

Khazanah Nasional Berhad bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan GIP Aurea Pte Ltd, membentuk satu konsortium dikenali GDA dan membuat tawaran untuk membawa MAHB ke dalam pemilikan persendirian pada harga RM11 sesaham.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata keputussn itu menambahkan lagi persoalan dan menetapkan duluan tidak sihat.

Pemimpin Bersatu itu mendakwa pihak berkuasa bertindak tanpa mengambil kira pandangan dan pendapat pengarah bebas MAHB serta gagal melindungi hak pemegang saham minoriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.