Langkah tepat tamatkan tol percuma musim perayaan, kata aktivis

Langkah tepat tamatkan tol percuma musim perayaan, kata aktivis

Shahrim Tamrin berkata tol percuma semasa musim perayaan adalah dasar tidak produktif malah menjejaskan kemampanan sistem pengangkutan.

toll
Kerajaan mula memperkenalkan pengecualian tol percuma pada musim perayaan sejak 2018.
PETALING JAYA:
Pengecualian tol pada musim perayaan disifatkan dasar tidak produktif malah menjejaskan kemampanan sistem pengangkutan, selain menyumbang kesesakan lebuh raya teruk, kata seorang aktivis.

Menyifatkan tindakan kerajaan menamatkan dasar itu sebagai tepat, Shahrim Tamrin, bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata tol percuma ibarat mencurah minyak ke dalam api kerana mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya akibat trafik yang sangat tinggi pada tempoh berkenaan.

“Akibat jumlah trafik yang begitu tinggi di lebuh raya, ia seterusnya melimpah ke jalan utama dan sekunder dan kerap kali menyebabkan keadaan lalu lintas merangkak teruk di bandar dan kawasan luar bandar atau kampung.

“Contoh jelas ialah perjalanan selama 24 jam dari Lembah Klang ke Kelantan yang meletihkan minda dan fizikal pemandu serta penumpang. Bayangkan risiko tinggi keselamatan di jalan raya apabila pemandu lesu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Shahrim berkata pendekatan tol percuma juga mengakibatkan penggunaan bahan api lebih tinggi dan membawa kepada peningkatan pelepasan karbon dioksida dan pencemaran udara.

Malah, katanya, jelas duit pembayar cukai digunakan untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya akibat hari bebas tol berkenaan.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Shahrim berkata jutaan ringgit wang pembayar cukai bagi tujuan tol percuma perlu disalurkan dengan betul kepada rakyat kebanyakan dalam menggunakan pelbagai mod pengangkutan awam darat.

“Dengan duit pembayar cukai itu, kerajaan harus menggalakkan perkhidmatan bas ekspres atau bas sewa khas serta perkhidmatan rel melalui tawaran baucar tiket elektronik atau tambang diskaun,” katanya.

Beliau juga mencadangkan alternatif bantuan bersasar sebanyak RM180 juta setahun kepada pengembara berpendapatan rendah dan pelajar ke Sabah dan Sarawak atau ke mana-mana wilayah, semasa musim perayaan.

“Subsidi bersasar seperti mana kerajaan ingin laksanakan boleh diperluaskan untuk rakyat marhaen dengan menggunakan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan perkhidmatan landasan berkembar utara-selatan yang dijangka siap tidak lama lagi.

“Ia adalah situasi menang-menang yang boleh membantu negara jika kerajaan tekad untuk laksana perkara yang bernas dan bukannya cenderung kepada keputusan popular apabila menggunakan wang pembayar cukai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.