Disyaki seleweng pampasan RM455,000, ketua kampung direman

Disyaki seleweng pampasan RM455,000, ketua kampung direman

Suspek didakwa salah guna wang diberikan syarikat pembalakan yang sepatutnya disalur kepada penduduk rumah panjang.

handcuff
Pengarah SPRM Sarawak Hasbilah Mohamad Salleh, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Ketua kampung direman kerana disyaki menyeleweng wang pampasan sekitar RM455,000 yang sepatutnya disalur kepada penduduk rumah panjang.

Perintah reman sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Galvin Loo Wei Ling selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Bintulu.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Bintulu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga ketua kampung dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2019 hingga 2023.

“Dia disyaki menyalahgunakan wang pampasan yang diserahkan oleh syarikat pembalakan yang sepatutnya disalurkan kepada penduduk rumah panjang, susulan projek pembalakan yang dilaksana di kawasan milik penduduk itu,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak Hasbilah Mohamad Salleh, mengesahkan penahanan dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM9,500 dan satu unit telefon bimbit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.