Dasar jelas bantu Malaysia raih pelaburan utama industri AI, kata PM

Dasar jelas bantu Malaysia raih pelaburan utama industri AI, kata PM

Anwar Ibrahim berkata disediakan insentif mencukupi menarik pelabur AS, Eropah, dan China melabur besar di Malaysia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kestabilan politik juga galak pemain utama AI dan syarikat semikonduktor pilih Malaysia destinasi pelaburan. (Gambar Bernama)
DAVOS:
Kestabilan politik dan dasar jelas Ekonomi Madani telah menggalakkan pemain utama dalam industri kecerdasan buatan (AI) termasuk syarikat semikonduktor melabur di Malaysia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan menyediakan insentif mencukupi untuk menarik pelabur utama dari Amerika Syarikat (AS), Eropah, dan China membuat pelaburan besar di Malaysia.

Beliau berkata seiring dengan kemajuan AI, kerajaan telah mengambil pendekatan menyeluruh menyepadukan AI dalam rangka kerja nasional Malaysia, dengan memberi penekanan mewujudkan undang-undang AI yang mantap, pejabat nasional AI, dan langkah perlindungan data.

“Kami perlu merancang pelaksanaan AI nasional, pejabat AI, perundangan, perlindungan data, dan apa sahaja yang diperlukan untuk memastikan kami dilengkapi sepenuhnya dengan kaedah AI – mengubah sistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, teknologi blok rantai (blockchain),” kata Anwar.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog eksklusif khas bersemuka dengan kepimpinan forum bertajuk “A Conversation with Anwar Ibrahim” yang dimudahcarakan oleh pengasas dan pengerusi lembaga pemegang amanah WEF, Klaus Schwab.

“Ia perlu dilaksanakan segera, dan kami menggerakkannya (AI) pada kadar yang lebih pantas, sebahagiannya kerana usia saya. Saya tidak mempunyai masa untuk menunggu,” ujar pemimpin berusia 77 tahun itu secara berseloroh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.