Batalkan sistem waktu bekerja berlainan, gesa pemimpin Bersatu

Batalkan sistem waktu bekerja berlainan, gesa pemimpin Bersatu

Dr Yadzil Yaakub yang juga pengamal perubatan mendakwa cadangan Kementerian Kesihatan itu bukan untuk membela kebajikan kakitangannya.

Wad hospital doctor and patience and nurses
Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata WBB hanyalah tambahan pilihan kepada sistem sedia ada bagi memenuhi keperluan dan kemampuan hospital awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu menggesa kerajaan membatalkan cadangan sistem syif baharu untuk petugas kesihatan, dikenali sebagai ‘Waktu Bekerja Berlainan’ (WBB).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Yadzil Yaakub yang juga pengamal perubatan mendakwa cadangan Kementerian Kesihatan itu bukan untuk membela kebajikan kakitangan terbabit tetapi membuli.

Menurut Adun Bemban itu, kekurangan petugas yang menjadi isu utama sektor kesihatan tidak akan selesai dengan WBB malah akan melumpuhkan sistem perkhidmatan jika dilaksanakan.

“Ia akan membunuh sifat ikhlas untuk bekerja di dalam diri petugas kesihatan akibat kerja kuat mereka yang tidak dihargai.

Dr Yadzil Yaakub.
Dr Yadzil Yaakub.

“Saya gesa KKM batalkan perlaksanaan WBB yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada petugas kesihatan.

“Kebajikan petugas di sektor kesihatan perlu diutamakan untuk memastikan mereka terus berkhidmat dengan ikhlas memberikan perkhidmatan kesihatan cemerlang,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata WBB hanyalah tambahan pilihan kepada sistem sedia ada bagi memenuhi keperluan dan kemampuan hospital awam.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan menangani isu lama berkaitan waktu kerja berlebihan dalam kalangan profesional kesihatan, di mana ada yang bekerja sehingga 33 jam berturut-turut atau mencatatkan 99 jam seminggu.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan jangka masa bilakah WBB akan dilaksanakan.

Sebelum ini timbul kekeliruan mengenai cadangan itu terutama berkait pelaksanaannya susulan penyebaran pekeliling dalaman.

Namun Dzulkefly mengakui ia menimbulkan kekeliruan dan memberi jaminan bahawa WBB masih dalam fasa percubaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.