3 ditahan berkait kes wanita mati ditikam gunting

3 ditahan berkait kes wanita mati ditikam gunting

Mayat wanita berusia 42 tahun itu ditemukan dengan kesan tikaman di bahagian dada, muka dan lengan dalam sebuah kenderaan pada 1 Disember lalu.

handcuff
Menurut Ketua Polis Johor M Kumar, semua suspek yang ditahan pada 11 Jan lalu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Tiga individu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemukan dengan kesan tikaman di dalam sebuah kereta di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, mayat wanita berusia 42 tahun itu ditemukan dengan kesan tikaman di bahagian dada, muka dan lengan dalam kenderaan itu pada 1 Disember lalu.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan pada 11 Jan oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Johor.

“Dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 31 hingga 48 tahun itu ditahan di kawasan Tampoi, Johor dan Setiawan, Perak.

“Hasil siasatan, polis merampas sebahagian gunting yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa, selain sepucuk pistol bersama 48 butir ball bearing yang disembunyikan di kawasan perumahan di Tampoi,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau berkata kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan arahan pertuduhan sudah dikeluarkan.

Katanya, semua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

“Salah seorang daripada suspek juga berdepan dua pertuduhan lain iaitu mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.