
Dalam kenyataan, Wan Fayhsal berkata pihak berkuasa bertindak tanpa mengambil kira pandangan dan pendapat pengarah bebas MAHB serta gagal melindungi hak pemegang saham minoriti.
Katanya, pihak berkuasa juga gagal melindungi dan mempertahankan kepentingan pemegang saham minoriti dengan membenarkan institusi pelaburan gergasi untuk melakukan perubahan terma dan syarat penswastaan sesuka hati.
“Ini menetapkan satu duluan yang tidak sihat kerana membenarkan pihak membuat tawaran mengetepikan pandangan pengarah bebas dan hak pemegang saham minoriti,” katanya.
Wan Fayhsal berkata, keputusan Khazanah Nasional (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu tidak memberi nilai yang setara kepada pemegang saham MAHB berdasarkan nilai semasa.
Semalam, dilaporkan Gateway Development Alliance, iaitu konsortium diketuai Khazanah, KWSP dan Global Infrastructure Partners dikaitkan dengan BlackRock, menyemak semula syarat penerimaan yang menyatakan bahawa pembuat tawaran hanya perlu memperoleh pegangan sekurangnya 85% saham MAHB.
Sebelum ini, Wan Fayhsal mendakwa lima pengarah bebas MAHB ditamatkan perkhidmatan oleh Khazanah kerana menentang cadangan penswastaan itu. Bagaimanapun, MAHB menafikan dakwaan tersebut.