
Berita Harian melaporkan Thian Ming Chuan, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di depan Hakim Sayani Mohd Nor.
Dia yang masih bujang didakwa merogol kenalannya berusia 16 tahun di sebuah hotel di Yong Peng, Batu Pahat, pada 4.30 petang 13 Dis lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Menurut laporan, mangsa baru sebulan mengenali tertuduh yang berniaga di depan gerai neneknya sebelum mengambil keputusan keluar bersama.
Tetapi, tertuduh membawa mangsa ke sebuah hotel dan melakukan perbuatan itu.
Mangsa tidak bercerita kepada sesiapa sehingga dia mengadu sakit perut kepada ibu saudaranya yang membawanya ke klinik dan hasil pemeriksaan mendapati dia hamil empat minggu.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dan memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bersama dua syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes selesai.
Kes disebut semula 27 Feb ini untuk serahan dokumen.