Pendekatan lebih bersasar ganti tol percuma musim perayaan, kata menteri

Pendekatan lebih bersasar ganti tol percuma musim perayaan, kata menteri

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan akan memperincikan pendekatan lebih bersasar itu dalam masa terdekat.

toll
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma sempena cuti musim perayaan dengan pendekatan lebih bersasar.
PETALING JAYA:
Kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melaksanakan pemberian tol percuma sempena cuti musim perayaan seperti dilakukan sebelum ini.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata perkara itu sudah diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Tanpa memperincikan pendekatan bersasar itu, beliau berkata kerajaan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

“Akan kita umumkan dalam masa terdekat (pendekatan lebih bersasar), tahun lalu kerajaan memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma pada musim perayaan.

“Ikut keputusan itu tiada (pemberian tol percuma) tetapi kalau ada, mungkin pertimbangan lain,…akan dibincangkan.

“(Keputusan ini kerana)…kerajaan hendak selaraskan dengan subsidi yang lebih bersasar. Perincian akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pembukaan Seksyen 2, WCE dari Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE, menurut Berita Harian.

Sebelum ini dilaporkan semua implikasi kewangan susulan pengecualian tol bagi setiap perayaan ditanggung oleh kerajaan, bukan syarikat konsesi.

Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.

Pada tahun lalu saja, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali RM42.31 juta dan Tahun Baru Cina RM41.21 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.