
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (DPP).
“Terpulang kepada DPP untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media.
Bulan lalu, Azam berkata SPRM menyiasat individu dikatakan sebagai ‘pemberi maklumat’ yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan amalan rasuah membabitkan beberapa Adun Sabah dalam kelulusan lesen perlombongan mineral.
Pada November, SPRM memanggil bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd, Jontih Enggihon, bagi membantu siasatan.
SMM sebelum ini mendakwa Jontih melakukan pelanggaran amanah fidusiari, penipuan, dan salah laku. Bagaimanapun, beliau menafikan semua dakwaan tersebut.
Tuduhan rasuah itu timbul selepas beberapa siri video mengaitkan beberapa Adun Sabah dengan skandal tersebut tersebar. Sumber kemudian memberitahu FMT bahawa ia merupakan sebahagian daripada plot untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Azam turut memaklumkan SPRM hanya dapat menjalankan siasatan berdasarkan video yang diterbitkan oleh sebuah portal berita.
“Kami tidak dibekalkan video itu oleh ‘pemberi maklumat’, tetapi kami merakam keterangan ‘pemberi maklumat’ serta beberapa Adun berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, SPRM menyelesaikan siasatan kes itu minggu lalu, tetapi DPP memulangkan kertas siasatan untuk pegawai penyiasat melengkapkan beberapa keterangan.
“DPP memberi arahan ia perlu disiapkan pada hujung Januari,” katanya.
Azam berkata, beliau sendiri akan memaklukan perkembangan terkini kes itu pada pertengahan Februari bagi mengelakkan sebarang spekulasi.