
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari membuat gesaan itu susulan perubahan terma termasuk penurunan ambang penerimaan daripada 90% kepada 85% dan lanjutan tarikh tutup tawaran.
Dakwanya, keadaan itu disifatkan serius kerana menimbulkan persoalan berkait integriti pasaran dan perlindungan terhadap pemegang saham minoriti.

“Tindakan mengubah syarat tawaran di pertengahan proses adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam pengambilalihan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sambil mempersoalkan pihak berkuasa seperti Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti yang dilihat berdiam diri.
“Pihak berkuasa berkaitan digesa segera campur tangan dan memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan.”
Semalam, media melaporkan tarikh tutup bagi penerimaan tawaran oleh GDA untuk saham belum dimiliki penawar dalam MAHB telah dilanjutkan daripada 24 Jan kepada 4 Feb.
Ia adalah lanjutan kali ketiga selepas konsortium gagal memenuhi syarat asal sebanyak 90%.
Khazanah Nasional Berhad bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan GIP Aurea Pte Ltd, membentuk satu konsortium dikenali GDA dan membuat tawaran untuk membawa MAHB ke dalam pemilikan persendirian pada harga RM11 sesaham.
GDA turut memaklumkan ambang untuk penerimaan saham telah diturunkan kepada 85% dan dengan 86% sedia ada, konsortium itu yakin perjanjian itu akan berjaya.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata kegagalan kerajaan memantau dan mengawal selia perubahan terma tawaran itu menunjukkan kelemahan dalam melindungi kepentingan pemegang saham minoriti dan integriti pasaran secara keseluruhan.
“Kerajaan perlu mengambil langkah tegas mengembalikan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap integriti pasaran modal negara,” katanya.