
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata seorang lelaki tempatan 36 tahun membuat laporan semalam mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.
Menurutnya, mangsa mendakwa menerima mesej Instagram berkaitan pelaburan produk kecantikan daripada seorang wanita pada 9 Dis lalu.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi wanita itu dan diberikan penerangan melalui pautan internet menjanjikan pulangan keuntungan 10% daripada jumlah modal dilaburkan.
“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan melakukan 41 transaksi ke 19 akaun berbeza bermula 19 Dis tahun lalu hingga Jumaat lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM553,095,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan ketika cuba mengeluarkan keuntungan RM18,000 seperti tercatat dalam pautan diberikan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.