Ada peniaga naik caj perkhidmatan pada hari cuti CNY, kata persatuan

Ada peniaga naik caj perkhidmatan pada hari cuti CNY, kata persatuan

Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura kata kenaikan itu 'tip' bagi pekerja yang sudi bekerja pada hari cuti.

chinese restaurant
Persatuan restoran mengesahkan ada peniaga akan mengenakan caj perkhidmatan sehingga 15%, namun pelanggan boleh memilih sama ada ingin makan dalam premis atau tidak. (File pic)
PETALING JAYA:
Persatuan restoran mengesahkan ada peniaga akan mengenakan caj perkhidmatan sehingga 15%, berbanding 10% kini, pada hari cuti Tahun Baharu Cina.

Menurut Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, kenaikan caj itu merupakan ‘tip’ kepada pekerja yang sudi bekerja pada hari tersebut.

Hari cuti umum sempena Tahun Baharu Cina 2025 jatuh pada 29 dan 30 Jan.

“Tapi biasanya kebanyakan mengekalkan caj perkhidmatan sebanyak 10% atau tidak beroperasi untuk dua hari itu,” kata Presiden Wong Teu Hoon.

Wong memaklumkan pihaknya tidak berhak campur tangan kerana terpulang kepada peniaga untuk menetapkan caj tersebut.

“Sekurang-kurangnya mereka ada mengeluarkan notis lebih awal memaklumkan kenaikan itu. Maka pelanggan boleh memilih sama ada ingin makan dalam premis atau tidak. Adil dan tiada paksaan,” katanya.

FMT sedang mendapatkan maklum balas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Di media sosial, sebuah restoran dikecam warganet susulan notis memaklumkan kenaikan caj perkhidmatan, kepada 15% daripada 10%, bagi pelanggan yang makan di premis pada hari pertama dan kedua Tahun Baharu Cina.

Menurut gambar notis yang tersebar, caj itu tidak termasuk SST 6%.

Rata-rata warganet mempersoal adakah kenaikan caj perkhidmatan itu sah dan dibenarkan kerajaan, terutama pada musim raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.