5 lagi direman berkait rasuah pinjaman peribadi

5 lagi direman berkait rasuah pinjaman peribadi

Lima suspek terbabit ditahan antara 3 hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Lima lagi individu melibatkan pegawai institusi perbankan direman selepas disyaki menerima rasuah sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi dikemukan sebuah syarikat perunding kewangan.

Empat suspek iaitu dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an direman lima hari hingga 25 Jan, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 30-an direman tiga hari hingga 23 Jan.

Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Sumber berkata, lima suspek terbabit ditahan antara 3 hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai institusi perbankan yang telah membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.

“Pegawai-pegawai ini dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang bertindak menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Katanya, 16 individu yang sebelum ini ditahan reman dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.