Malaysia pelawa Indonesia sertai LIMA 2025

Malaysia pelawa Indonesia sertai LIMA 2025

Undangan itu dibuat ketika pertemuan Menteri Pertahanan Khaled Nordin dan rakan sejawatnya dari Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin di Wisma Pertahanan.

LIMA 2025
Edisi ke-17 LIMA 2025 akan diadakan pada 20 hingga 24 Mei di Pulau Langkawi. (Gambar LIMA)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pertahanan Khaled Nordin mengundang secara rasmi Indonesia untuk menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.

Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan memaklumkan undangan itu dizahirkan selepas pertemuan Khaled dengan rakan sejawatnya dari Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin dan delegasi yang mengadakan kunjungan hormat di Wisma Pertahanan hari ini.

“(Jemputan itu) sekali gus mengulangi dedikasi kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan pertahanan melalui pelaksanaan inisiatif di peringkat dua hala dan pelbagai hala.

“Sementara kunjungan hormat ini bukti komitmen tidak berbelah bahagi antara kedua-dua negara dalam memupuk kerjasama kukuh demi keamanan dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu.

Edisi ke-17 LIMA 2025 akan diadakan pada 20 hingga 24 Mei di Pulau Langkawi.

Pertemuan itu juga mencerminkan hubungan erat yang telah terjalin antara Malaysia dan Indonesia melalui hubungan diplomatik serta kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

“Semasa pertemuan itu, kedua-dua menteri bertukar-tukar pandangan, terutamanya berkaitan perspektif pertahanan dan keselamatan serantau serta melibatkan Kepengerusian Asean 2025.

“Turut dibincangkan Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia Ke-44 (GBC MALINDO Ke-44) yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada tahun ini dalam menangani cabaran keselamatan serantau secara kolektif,” menurut kenyataan itu.

Khaled juga mengucapkan tahniah kepada Sjafrie atas pelantikan sebagai menteri pertahanan Indonesia dan menyatakan keyakinan terhadap kemakmuran berterusan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto.

Terdahulu, sesi kunjungan hormat itu dimulakan dengan Pemeriksaan kawalan kehormatan utama daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) dengan kekuatan tiga pegawai dan 109 anggota yang diketuai Muhammad Akmal Hakim Sabarudin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.